
Dalam masyarakat kita, terdapat pandangan yang kurang tepat mengenai perawat Islam dan peranan mereka dalam bidang kesihatan.
Ramai yang menganggap kerja dalam bidang agama ini seharusnya dilakukan secara ikhlas dan tanpa menerima upah.
Namun, pandangan ini tidak mencerminkan realiti yang dihadapi oleh perawat Islam dalam menjalankan tugas mereka sehari-hari.
Perawat Islam, sama macam pekerja dalam bidang lain, bekerja keras untuk menyumbang kepada masyarakat dan memastikan kesihatan dan kesejahteraan pesakit mereka terjaga.
Perawat juga melalui cabaran dan tekanan dalam menjalankan tanggungjawab mereka, seperti beban kerja yang tinggi, risiko penyakit, dan emosi yang terlibat dalam merawat pesakit yang sakit atau mengalami masalah kesihatan yang serius.
Sebagai pesakit, kita perlu menghargai khidmat yang diberikan oleh perawat Islam dan kita perlu memahami yang mereka juga memerlukan upah untuk menyara kehidupan mereka dan keluarga. Rumah, kereta, makan minum semuanya memerlukan duit.
Upah ini diberi bukan sahaja sebagai penghargaan kepada perawat, tapi juga sebagai insentif untuk memastikan perawat akan terus memberikan perkhidmatan yang berkualiti tinggi kepada pesakit mereka.
Dalam artikel ini, kita akan membahas beberapa aspek penting yang berkaitan dengan upah perawat Islam dan mengapa ia penting untuk menghormati dan menghargai peranan mereka dalam masyarakat.
Upah untuk Perawat Islam
- Kita perlu menghargai usaha seorang perawat Islam yang sudah memberikan perkhidmatan mereka kepada pesakit.
- Konsep ikhlas dalam Islam tidak bermaksud bekerja tanpa gaji: Ikhlas dalam Islam bermaksud bekerja dengan sepenuh hati dan tanpa menuntut upah yang terlalu tinggi, jadi memberikan upah kepada perawat Islam adalah sejajar dengan prinsip Islam.
- Ada perawat Islam yang mungkin bekerja secara sukarela atau ikhlas, jadi normal kalau mereka tak meminta upah, kerana mereka ada sumber rezeki dari arah yang lain. Tapi macam mana dengan perawat Islam yang bekerja sepenuh masa?
- Upah yang adil perlu dipertimbangkan berdasarkan beberapa faktor seperti pengalaman, masa, susah payah dan tanggungjawab dalam kerja. Upah perlu diberikan perawat Islam kerana upah ini digunakan oleh perawat Islam untuk menyara hidup, keluarga & tempat tinggal. Paling penting masa mereka dengan kita.

Beza dengan yang sumbangan ikhlas & berbayar
Sumbangan ikhlas adalah bantuan atau pemberian yang diberikan dengan niat tulus.
Sumbangan ikhlas lebih sesuai kepada individu yang tidak bekerja secara tetap, bekerja secara part-time, atau yang melakukannya atas dasar minat dan kesukarelaan semata-mata.
Mereka yang menerima sumbangan ikhlas ini biasanya tidak memiliki tanggungan tetap dan menjalankan kerja ini sebagai kerja tambahan untuk menambah ilmu & pengalaman.
Sebaliknya, perawat Islam yang bekerja sepenuh masa dan mempunyai tanggungan keluarga memerlukan upah yang tetap.
Upah ini penting bagi mereka untuk memenuhi keperluan hidup, seperti membayar sewa rumah, menyediakan makanan untuk keluarga, membayar bil-bil, dan sebagainya.
Dengan upah, perawat Islam dapat bekerja dengan lebih fokus, serta memastikan kualiti perkhidmatan yang diberikan kepada pesakit berkualiti tinggi.
Kita perlu menghargai peranan perawat Islam yang bekerja sepenuh masa ini dan memahami bahawa mereka bukan sahaja menyumbang ilmu dan pengalaman mereka, tetapi juga mengorbankan masa dan tenaga mereka untuk kebaikan masyarakat.
Jadi, memberi upah adalah penghargaan yang patut kita berikan kepada perawat Islam.
Dengan memahami perbezaan antara menerima sumbangan ikhlas dan upah, kita dapat lebih menghargai usaha dan pengorbanan perawat Islam dalam menjalankan tugas mereka.
Risiko yang perlu dihadapi Perawat Islam ketika merawat pesakit
Kita perlu faham yang perawat juga menghadapi risiko yang sangat tinggi & berbeza. Antara beberapa risiko yang biasa dihadapi oleh perawat Islam ketika merawat pesakit termasuklah:
Terkena sihir
Perawat Islam mungkin terdedah kepada gangguan sihir ketika merawat pesakit yang mengalami masalah yang berkaitan dengan sihir atau ilmu hitam. Mereka perlu melindungi diri dengan doa dan amalan-amalan agama untuk mengelakkan terkena sihir atau gangguan rohani yang lain.
Terkena tempias
Ketika merawat pesakit yang mengalami gangguan jin, perawat Islam berisiko untuk terkena tempias & menyebabkan emosi atau fizikal perawat jadi terganggu. Ini termasuklah mudah marah, sakit tanpa sebab yang jelas, atau terkena penyakit penyakit yang tak dapat dikesan oleh doktor.
Risiko kesihatan
Sama macam doktor, perawat Islam juga menghadapi risiko yang berkaitan dengan penularan penyakit dan jangkitan. Gangguan jin sama seperti virus, boleh merebak & membawa penyakit pada perawat Islam. Sebab itu ada sebahagian perawat Islam, ada yang muntah darah, busung, kulit gatal & muka menjadi hitam.
Tekanan emosi dan mental
Merawat pesakit boleh menyebabkan perawat tertekan dengan keadaan tertentu. Perawat Islam perlu menguruskan tekanan ini dengan baik dan mencari support dari rakan sekerja, keluarga, dan masyarakat.
Soalan yang muncul di sini ialah,
adakah berbaloi seorang perawat Islam menghadapi risiko-risiko ini tanpa mendapat upah yang adil?
Jawapannya tidak.
Seperti pekerja dalam bidang lain, perawat Islam juga layak menerima upah yang setimpal dengan kerja keras, pengorbanan, dan risiko yang mereka hadapi.
Kita perlu menghargai peranan perawat Islam dalam masyarakat dan memastikan mereka mendapat upah yang adil untuk membantu mereka menghadapi risiko dan cabaran yang datang bersama-sama dengan pekerjaan mereka.
Tanpa upah yang adil, akan menyebabkan perawat Islam semakin pupus. Tiada siapa lagi yang mahu menjadi perawat Islam kerana zaman sekarang semuanya memerlukan duit.
Jangan gunakan statement “ALLAH yang beri rezeki”. Mohon amalkan pada diri dulu. Jangan kerja, jangan buat apa apa. Duduk rumah sahaja. Kemudian cakap lah pada diri sendiri “Allah yang beri rezeki”.
Kita juga boleh bagi tahu pada majikan kita, untuk tak menerima gaji penuh sebaliknya berilah sumbangan ikhlas kerana kita yakin yang Allah itu akan memberikan rezeki kepada kita.
Boleh tak macam tu? Dengan akal yang diberi, semoga kita boleh berfikir dengan baik tentang perkara ini. InsyaAllah.